klpost

ADUN Senai diminta beri keterangan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Johor Baharu
– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Shu Qi diminta memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Jumaat ini, dipercayai berhubung kenyataannya mengenai kesahihan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Shu Qi berkata, pihak polis sudah menghubunginya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, beliau percaya siasatan itu berkaitan ucapan perbahasan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, baru-baru ini.

“Saya diminta hadir ke IPK Johor pada Jumaat ini jam 4 petang. Saya akan hadir ditemani peguam, Gobind Singh Deo,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shu Qi berkata, beliau juga akan mengadakan sidang media pada jam 5 petang sebaik sahaja selesai memberi keterangan berkenaan.

Isnin lalu, Shu Qi diarah keluar daripada Persidangan DUN Johor, selepas enggan menarik balik kenyataan yang dikeluarkan ketika membahaskan ucapan yang bertanya mengenai kesahihan maklumat dalam dokumen SPRM dalam satu laman blog.

SPRM pada 29 November lalu dilaporkan membuat laporan polis, berhubung kebocoran dokumen, selain menjelaskan jadual pembayaran yang dimuat naikan di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan penggulungannya pada DUN dilaporkan berkata beliau menyerahkan perkara itu (pendedahan dokumen sulit) kepada pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang sesuai dan berlandaskan undang-undang ke atas ADUN Senai.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang masih sengaja membuat fitnah, spekulasi dan sebarang tindakan yang tidak wajar. – BH Online