klpost

Adun Barisan Nasional pertanyaan “Kedai Kopi” di Sidang Dewan Negeri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM : Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini hangat apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan soalan tambahan dari Wong Koon Mun (Kuala Kubu Bharu-BN) berhubung isu kecurian pasir sebagai pertanyaan ‘kedai kopi’.

Koo Mun sebelum itu, mengajukan soalan tambahan mengatakan kecurian pasir menyebabkan masalah sampingan seperti jambatan dan tanah runtuh di kawasan tertentu.

“Banyak masalah sampingan (akibat kecurian pasir). Sebelum 2008, tiada jambatan runtuh pun. Adakah pendapatan yang diperoleh itu boleh digunakan untuk menggantikan kerugian di Selangor?,” soalnya.

Menjawab pertanyaan itu, Abdul Khalid berkata, Koon Mun menggunakan ‘logik agak rendah seperti di kedai kopi’ kerana tidak melihat daripada perangkaan yang dijalankan agensi kerajaan terlibat.

“Saya tanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), apa sebab jambatan atau tanah runtuh? Adakah disebabkan kecurian pasir atau faktor lain? Jawapannya tidak kerana kita sudah pantau dan alasan digunakannya logik.

“Dalam kajian lain pula, kita juga panggil Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mereka juga kata tidak, kalau nak jadi Adun status mesti tinggi jadi jangan gunakan ‘simple logic’ untuk terangkan perkara ini betul ke tidak ,” katanya.

Koon Mun kemudian dilihat bangun dan menyatakan Adun Ijok dari PKR itu salah menjawab soalan yang tiada kaitan dengan kedai kopi, bagaimanapun dibalas Abdul Khalid supaya menunjukkan kawasan terbabit.

Kenyataan itu membuatkan Koon Mun ‘panas hati’ sebelum menyatakan Abdul Khalid tidak turun kawasan.

“Saya daripada bidang kejuruteraan awam, saya tahulah, awak tidak turun kawasan, awak tidak tahu,” kata Koon Mun.

Bagaimanapun, Abdul Khalid membidas, Koon Mun telah memalukan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai daerah selaku individu bertanggungjawab turun padang untuk menyiasat kes berkenaan.

“Laporan itu ditulis mereka, bukan saya. Saudara seolah-olah tidak percaya dengan laporan disediakan dan seperti menyatakan mereka tidak buat kerja,” katanya.

Persidangan itu kembali tenang apabila Shuhaimi Shafiei (Sri Muda-PKR) meminta Abdul Khalid menjelaskan peranan Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang ditubuhkan untuk menangani isu pasir. – Selangorku