klpost

Abang alim berubah jadi pemabuk dan berzina

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SAYA mempunyai seorang abang angkat yang cukup baik dan selalu mengambil berat. Kami berkenalan sejak dari sekolah menengah dan usia kami hanya berbeza dua tahun.

Saya sayangkannya kerana dia rajin menunaikan solat. Malangnya semua berubah apabila dia bekerja di tempat baru dan paling nyata dia mula minum arak dan berzina.

Dia mula menjadi pemabuk dan selalu memukul isterinya tanpa mengira masa. Dia memukul hingga isterinya berdarah dan apabila saya cuba menghalang dia akan memukul saya pula.

Namun apabila kemarahannya reda, dia akan datang meminta maaf pada saya namun tidak pada isterinya. Malah, sudah lumrah mendengar dia menghamburkan kata kesat pada isterinya.
Saya cuba berjumpa bomoh dan pakar kaunseling untuk menyelesaikan masalah ini selain meminta petunjuk Allah supaya membuka hatinya untuk berubah, namun sehingga kini tiada apa yang berlaku.
Saya sayangkan abang angkat seperti abang kandung begitu juga isterinya apatah lagi sejak kecil saya dibesarkan di rumah anak yatim.

Saya tidak mempunyai adik beradik lain.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki keadaan ini?

Yang Keliru
Selangor

DR amat memahami dan empati kepada adik. Jika kita menyayangi seseorang dan tiba-tiba berlaku perubahan empunya disayang, ia satu igauan dan membawa tekanan psikologi. Apatah apabila perubahan yang berlaku beralih dari positif kepada negatif. Dr juga memahami kerisauan adik takut kehilangan kasih sayang abang angkat.

Logiknya, manusia sebagai sebahagian daripada kehidupan, tidak kekal selama-lamanya. Segala-gala bersifat dinamik dan berubah, sama ada disukai atau tidak.

Begitu apa yang berlaku kepada abang angkat adik. Peralihan kerja dan suasana baru merubah kehidupannya. Bagaimanapun, perubahan abang bukannya penghijrahan yang adik inginkan.

Sebaliknya, ia memporak-perandakan kebahagiaan keluarganya termasuk adik.

Dr tidak tahu sebab sebenar abang menjadi seorang penzina, peminum arak dan pendera. Manusia berubah atas sebab-sebab tersendiri. Perubahan boleh berlaku untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tempat dan suasana baru. Ada merasakan perubahan berlaku untuk sesuatu tujuan. Apapun, hanya abang yang lebih mengetahui akan sebab berubah.

Apa yang nyata, keluarga merana dan tersiksa akibat perbuatan abang setelah nafsu menguasai jiwa lara abang.

Secara fisiologi, apabila diri dikuasai arak, apa yang dilakukan banyak di luar kesedaran. Islam melarang umatnya meminum arak kerana ia mendatangkan begitu banyak keburukan.

Memukul isteri sehingga berdarah dan meninggalkan kesan adalah bersifat deraan.
Laporan kepada pihak berwajib boleh dibuat untuk mengelakkan abang dari berterusan bersifat ganas. Jika dibiarkan berterusan ia menggalakkan lagi abang untuk terus bersifat kebinatangan.

Perubahan akan berlaku jika ada kemahuan dan niat diikuti dengan tingkah laku.
Jika abang ingin berubah, abang perlu ada kemahuan untuk berubah. Jika tidak, amat sukar untuk adik mengubah sikap abang.

Orang yang menyayangi seseorang tidak akan mudah putus sas untuk melihat perubahan orang yang disayangi. Jika adik benar-benar mahu membantu abang, sifat putus asa tiada dalam kamus. Pada ketika ini, abang berada dalam fasa yang mana emosi, nafsu jahat lebih menguasai dirinya.

Sebab itu, abang memerlukan sokongan orang-orang yang rapat untuk membimbing ke jalan yang benar. Di sinilah adik memainkan peranan penting untuk membantu abang. Adik ibarat “hiduplah seperti pohon kayu yang lebat buahnya dibaling dengan batu lalu dibalas dengan buah”.

Untuk berubah, sering kali ia mengambil masa. Adik perlu memberi abang masa untuk kembali menjadi dirinya sebelum ini. Dan ini tentunya dengan bimbingan berterusan dari adik dan orang-orang yang rapat dengannya.

Adik juga perlu sentiasa mendoakan akan perubahan abang. Sentiasa meminta petunjuk dari Allah supaya membuka hati abang.

Semasa abang berada dalam keadaan tenang, adik boleh berbincang secara berhemah dengannya. Sekeras keras batu dapat dihancurkan oleh titis air yang lembut.

Begitu jua sekeras keras hati dapat ditundukkan oleh kata-kata lembut.

Apabila adik sudah melakukan segala-galanya untuk mengubah tingkah laku abang, tapi masih gagal anggaplah bahawa adik sudah melakukan yang termampu.

Adik tidak boleh mengawal tingkah laku orang lain kecuali diri adik sendiri.
Hargailah diri, diri itu bukan ringgit nilainya. Walaupun sedih tapi itulah realiti kehidupan.

Ada perkara yang kita inginkan tetapi tidak semestinya kita akan memperolehnya.
Manusia merancang dan berusaha tapi Allah menentukan segala-galanya.

– Dr Sapora Sipon (Metro)