klpost

74, 000 peluang pekerjaan tersedia

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Kuala Lumpur  –  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan penambahan RM28.9 bilion Pendapatan Negara Kasar (PNK) dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian bagi mencapai sasaran RM49.1 bilion PNK menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, semasa di temuramah of Berita Harian berkata sasaran itu dijangka dicapai melalui 16 Projek Utama Permulaan (EPP) di bawah program NKEA Pertanian.

Katanya, setakat ini sebanyak 108 syarikat sudah menyertai Projek Penggerak Ekonomi (EPP) di bawah NKEA Pertanian dengan pertambahan 25 syarikat baru sejak Januari hingga kini.

Yakin capai sasaran

“Saya yakin kita berjaya mencapai sasaran PNK RM49.1 bilion itu sebelum 2020 berikutan perkembangan menggalakkan NKEA bidang pertanian dalam tempoh dua tahun ini.

“Komitmen pelaburan swasta juga dijangka meningkat kepada RM2.69 bilion pada akhir 2020,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara empat syarikat peneraju NKEA Pertanian, di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Noh berkata, pihaknya turut menyasarkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 74,600 menjelang 2020.

Sehingga kini, katanya, NKEA berjaya mewujudkan 23,533 kekosongan pekerjaan kepada penduduk tempatan di dalam dan luar bandar.

“Pembabitan ini turut membuka peluang kepada pengusaha berskala kecil dan sederhana melalui skim kontrak dan sinergi, di samping menyediakan program latihan dan perintisan,” katanya.

Syarikat yang menandatangani perjanjian itu adalah Sunlight Inno Seafood Sdn Bhd di bawah EPP6-Replikasi iZAQ yang melaksanakan projek akuakultur ternakan udang dalam kolam dan bakal menyumbang RM70 juta kepada PNK pada 2020.

Peluang kepada pengusaha

Asia Aqualculture Sdn Bhd pula yang melaksanakan sistem kolam udang bersepadu di Desaru, Johor dijangka memperoleh pendapatan terkumpul PNK sebanyak RM280 juta dengan pertambahan peluang pekerjaan sebanyak 400.

K C Kwang dan Sons Sdn Bhd yang baru saja diluluskan di bawah EPP7 mengusahakan pasaran premium buah-buahan dan sayuran dijangka memperoleh sasaran GNI berjumlah 520 juta.

Evergreen Livestock Sdn Bhd dilantik syarikat pengusaha tanaman sayur-sayuran, menyasarkan perolehan PNK sebanyak RM110 juta.

NKEA Pertanian memberi fokus kepada subsektor dengan nilai pertumbuhan tinggi seperti herba, pengeluaran sarang burung walet, rumpai laut, akuakultur bersepadu, buah dan sayur segar premium.

Ia turut memberi tumpuan terhadap pengeluaran beras wangi, ternakan dan kluster susu serta produk industri asas tani yang bernilai premium untuk eksport.