SK

600 ribu rakyat Selangor yang layak masih belum mendaftar menjadi pengundi

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

JUN 6, 2012 – Apabila Faekah membuka mulut dan berkata-kata, pasti akan ada sahaja sesuatu yang luar daripada biasa, dalam keadaan tertentu bolehlah disebut tidak masuk akal.

Apabila kerajaan negeri membelanjakan wang rakyat sebanyak RM1 juta untuk tujuan kononnya “membersihkan” senarai pengundi hantu sebagai langkah memberi tanggapan negatif kepada SPR, Faekah seharusnya membuka minda akan sifat “buta demokrasi” yang sebenar.

Pertama, mengapa mempertikaikan jumlah penambahan pengundi sebanyak 300 ribu, sedangkan angka yang lebih membimbangkan ialah terdapat 600 ribu rakyat Selangor yang layak masih belum mendaftar menjadi pengundi.

Dalam erti demokrasi, setiap rakyat sebenarnya wajib mempunyai kuasa memilih, dan bukankah lebih baik wang tersebut digunakan untuk kempen daftar pemilih, sekiranya kerajaan negeri benar-benar inginkan demokrasi (hak untuk memilih) wujud dalam diri setiap rakyat. Ini lebih menyeluruh, tanpa punya apa-apa kepentingan politik.

Keduanya, penggunaan wang rakyat itu sebenarnya demi keuntungan politik kerajaan negeri, apatah lagi cuba mencari kesalahan SPR, sedangkan tempoh bantahan pengundi baru yang diragui diwujudkan sebelum senarai terkini diwartakan.

Tentu sahaja mana-mana wakil parti berhak membuat bantahan dalam tempoh yang diperuntukkan, tetapi bukan selepas tempoh tersebut.

Mengapa kerajaan negeri berbuat demikian selepas tamat tempoh bantahan? Tak syak lagi, mereka hanya mencari kesalahan yang akhirnya dianggap sebagai konspirasi UMNO, sebagaimana isu video Chinadoll dan Aisrkim Jamban.

Wang rakyat digunakan untuk kepentingan politik mereka, yang cuba diselindungkan atas nama hak rakyat.

Dan istilah pengundi hantu harus difahami dengan mendalam oleh Faekah, yang mungkin tidak pernah mendengar taklimat cara-cara pengundian dijalankan oleh SPR. Atau lebih parah, mungkin Faekah sebenarnya tidak pernah mengundi!

Tidakkah Faekah tahu, bahawa prosedur pengundian cukup ketat, dan dipantau oleh wakil dari parti-parti yang bertanding, untuk membuat “check and balance”? Hanya apa yang tercatat di kertas undi sahaja yang rahsia, tetapi bukan berapa jumlah yang keluar mengundi kerana setiap wakil parti dibenarkan membuat kira-kira, atau catatan tatkala pantauan diadakan! Di mana wujudnya pengundi hantu?

Kasihan Faekah, buta demokrasi.

Dan andai Faekah tertanya-tanya bagaimana boleh terdapat pertambahan mendadak senarai pengundi berdaftar, seharusnya Faekah analisa sendiri senario politik tanahair dari 2008 hingga ke perkembangan mutakhir.

Kehaprakan pentadbiran kerajaan negeri tidak dapat dibendung lagi, dan semakin ramai rakyat yang membuka mata akan kepentingan mengundi pada PRU akan datang. Itu pun masih ada 600 ribu yang masih belum mendaftar.

Faekah rupanya menghina kesedaran politik di kalangan rakyat. Ketebalan minyak dimukanya menghalang logika dari diterima masuk ke dalam kepalanya.

Alasan Faekah bahawa Selangorku Bersih dianjurkan bagi memastikan pengundi benar-benar bermastautin di negeri ini benar-benar menyerlahkan ketidakbijaksaan otaknya berfikir.

Agak sukar mencari pengundi, khususnya di kawasan bandar. Andai Faekah beralamat di Selangor dan tinggal di rumah sewa, yang kemudiannya berpindah ke Johor, namun alamat masih lagi di Selangor, apakah Faekah seorang pengundi hantu hanya kerana tidak tinggal di Selangor tetapi mengundi di Selangor atas sebab alamat belum bertukar? – Selangor Daily