klpost

50 samseng ugut pengusaha parkir

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

 

KUALA LUMPUR – Dua pengusaha parkir kenderaan mendakwa diugut menggunakan pistol dan parang oleh kira-kira 50 samseng yang dipercayai diupah oleh salah satu syarikat bertanggungjawab menjalankan projek pembinaan di Jalan Alor, Bukit Bintang supaya keluar dari kawasan tersebut.

Salah seorang pengusaha, Sathiya mendakwa sekumpulan samseng itu datang ke lokasi parkir tersebut kira-kira jam 7.30 pagi pada 23 Julai lalu dan mengugutnya supaya keluar daripada kawasan terbabit.

Lebih menakutkan, Thiya mendakwa samseng tersebut mengangkat batu besar seberat kira- kira 1.2 tan dengan menggunakan kren bertujuan untuk menakut-nakutkannya.

“Samseng-samseng tersebut datang sini untuk mengusir kami dengan mengugut menggunakan pistol malah saya nampak ada parang di dalam kereta.

“Tidak cukup dengan itu, mereka guna kren,  angkat batu besar itu betul-betul di atas kepala saya kerana hendak memberi amaran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kedua-dua pengusaha parkir itu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sunway dan Jalan Bandar kerana bimbangkan keselamatan terancam.

Bagaimanapun, Sinar Harian mendapati laporan polis itu tidak dinyatakan insiden pistol, parang dan batu besar sebagaimana didakwa.

Dalam pada itu, pengusaha dikenali sebagai Siva pula mendakwa mereka menyewa tapak tersebut dengan bayaran sebanyak RM58,000 sebulan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak diberikan notis lengkap seperti mana dalam perjanjian dibuat dengan pemilik tanah itu.

Dakwanya, pada masa sama, pemilik tanah itu menyewakannya kepada syarikat tersebut.

“Kami tidak terima notis lengkap yang sepatutnya iaitu tiga bulan.

“Sejak Julai lalu kami tidak membayar sewa malah kes ini sedang dalam proses di mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, beliau akan sedaya upaya membantu kedua-dua pengusaha itu.

Katanya, tindakan samseng terbabit disifatkannya menindas rakyat dan tidak wajar dilakukan.

“Ikhlas akan bantu kedua-dua pengusaha parkir kereta ini dengan membawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri dan juga Ketua Polis Kuala Lumpur,” katanya. – SH