klpost

5 penerbangan terpaksa dilencongkan ke KLIA ekoran cuaca buruk di P. Pinang

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


George Town
– Lima penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terpaksa berpatah balik dan dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berikutan angin kuat hari ini.

Pengurus Kanan LTAPP Ramzi Ahmad berkata lima penerbangan termasuk dua dari luar negara itu tidak dapat mendarat di LTAPP kerana angin kuat pada 4.30 petang ini.

“Dua penerbangan dari KLIA terpaksa berpatah balik manakala tiga penerbangan dari Langkawi, Kedah dan Singapura serta Taipei, Taiwan dilencongkan ke KLIA dan selamat mendarat di sana,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya terdapat sekurang-kurangnya lima penerbangan dari LTAPP juga tidak dapat berlepas ke destinasi masing-masing berikutan masalah itu.

Beliau berkata operasi dalam LTAPP masih berjalan lancar dan setakat ini lapangan terbang itu tidak dilanda banjir walaupun hujan lebat di Pulau Pinang sejak awal pagi tadi sehingga menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat.

Sehingga 7 petang ini, masih terdapat beberapa penerbangan terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca buruk di Pulau Pinang.

Hampir 100 kawasan di negeri ini ditenggelami air berikutan banjir kilat sejak 3 pagi tadi selepas hujan lebat melanda Pulau Pinang.

Banjir kilat ini berlaku akibat hujan lebat disebabkan fenomena musim perantaraan monsun dan kesemua 100 kawasan yang terjejas berlaku dalam 47 kawasan hotspot yang dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran. – Bernama