klpost

3.6 juta berusia 18 tahun ke atas hidap diabetes – Dr. Subramaniam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kementerian Kesihatan menganggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini menghidap diabetes dengan separuh daripada tidak menyedari kehadiran penyakit itu.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, separuh daripada jumlah itu atau kira-kira 1.8 juta tidak tahu mereka menghidap diabetes kerana belum didiagnos dan tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

Katanya, melalui saringan yang tetap dan berkala, penyakit diabetes boleh dikesan pada peringkat awal dan rawatan optimum boleh diberikan.

“Ini akan mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes dan membolehkan pesakit diabetes menjalani kehidupan yang normal,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Diabetes Sedunia 2017, semalam.

Beliau berkata peningkatan tahap kesedaran orang ramai terhadap penyakit itu, risiko penyakit dan kepentingan saringan kesihatan diharap dapat mengubah tingkah laku rakyat Malaysia dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit itu seterusnya mengurangkan risiko kematian pra matang akibat komplikasi diabetes.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kira-kira 1.78 juta penghidap diabetes di Malaysia adalah kalangan wanita.

Katanya, wanita  mengandung, akan diberikan fokus yang sama dalam soal mendapatkan saringan, didikan dan penjagaan sebaiknya untuk kesihatan ibu dan anak dalam kandungan.

”Bagi pesakit diabetes yang mahu hamil, mereka perlu menghadiri ‘pre-pregnancy counselling’ supaya dapat mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan,” katanya. – Bernama