klpost

27 orang ditahan,syaki tali barut pengganas Sulu

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

602782_10200728302879862_802272756_nSemporna – Polis akan melengkapkan laporan serta kertas pertuduhan terhadap 27 orang yang ditahan di sekitar daerah ini kerana dipercayai terbabit dengan pengganas atau menjadi tali barut mereka.

Laporan siasatan itu akan diteliti sebelum pertuduhan dilakukan bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Ketua Polis Daerah Semporna Deputi Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, pihaknya juga akan mengemukakan beberapa bukti, termasuk gambar dan dokumen penting, untuk tujuan pendakwaan di mahkamah.

“Selain melengkapkan siasatan bagi pertuduhan di mahkamah, kita juga berusaha mendapatkan maklumat lain mengenai lokasi persembunyian rakan pengganas serta orang hubungan yang masih bebas di daerah ini.
“Hasil siasatan susulan terhadap 27 individu ini banyak membantu kita untuk membuat serbuan susulan menjejak saki baki pengganas dan orang hubungan mereka, termasuk lokasi persembunyian senjata dan dokumen penting mengenai kehadiran pengganas di sini,” katanya, semalam.
Menurut Mohd Firdaus, keadaan keselamatan di daerah ini terkawal dengan kehadiran lebih ramai pegawai dan anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera di tempat awam, pekan, hospital, kampung pedalaman, rumah atas air dan sekolah.

“Kita lakukan ini bagi meyakinkan penduduk, orang ramai dan pelancong bahawa daerah Semporna kembali normal seperti sedia kala, tiada apa perlu dibimbangkan lagi.
“Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di kawasan Pulau Bum-Bum, Pulau Mabul serta beberapa pulau yang diami penduduk, termasuk destinasi tumpuan pelancong bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Seramai 69 individu ditahan di sekitar Semporna selepas polis menggempur beberapa kampung dan 27 daripada mereka disahkan ada kaitan dengan pengganas manakala bakinya melakukan kesalahan imigresen. – myMetro