klpost

2 pelajar terlepas hukuman gantung

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Ayer Keroh
– Dua pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) di negeri ini, terlepas hukuman gantung sampai mati selepas ditawarkan pertuduhan pindaan memiliki 201.12 gram kanabis oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, membuat keputusan itu selepas tertuduh Muhammad Afizul Syafiq Md Azman, 20, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan dan tertuduh Muhammad Hazrin Baba, 20, mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan pindaan yang dibacakan semula oleh jurubahasa.

Muhammad Afizul Syafiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dengan 10 sebatan bagi kesalahan pertama dan tiga tahun penjara dengan tiga sebatan bagi kesalahan kedua.

Bagaimanapun, dia hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan 13 sebatan selepas mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak mulai 20 September 2016.

Rakannya, Muhammad Hazrin dihukum penjara 15 bulan bermula tarikh yang sama.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Muhammad Afizul Syafiq didakwa memiliki 201.12 gram kanabis di tepi Jalan Delima 2, bersebelahan Plaza Bukit Beruang, Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang pada jam 3.40 petang, 20 September 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup dan maksimum 10 sebatan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Muhammad Afizul Syafiq didakwa memiliki 25.12 gram kanabis di tempat, waktu dan hari sama, mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan maksimum sembilan sebatan.

Muhammad Hazrin pula didakwa memiliki 0.22 gram kanabis di tempat, waktu dan hari sama, mengikut Seksyen 6 ADB 1952, yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun maksimum atau kedua-duanya.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh didakwa bersama mengedar 201.12 gram kanabis di tempat, waktu dan hari sama, mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952, yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati, namun pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu terhadap mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazrill Ghazali, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Anwar Ab Raof dan Muhamad Aizat Fakri. – BH Online