klpost

2 Merpati sejoli

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Jarak jauh bukan penghalang kukuhkan cinta Eza, Ahmad Saidi

Panggilan tiga saat menjadi titik mula perkenalan dua sejoli, Nurrul Iza Md Said, 27, dan pasangan, Ahmad Saidin Mohamad Daud, 28, yang akhirnya bernoktah di jinjang pelamin.

Menurut Nurrul Iza atau Eza, pelajar Sarjana Pendidikan Psikologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sewaktu perkenalan bermula kira-kira sembilan tahun lalu, panggilan tiga saat pertama menggunakan telefon bimbit tidak akan dikenakan caj.

“Suami terlihat Eza di perhentian bas, yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke Zoo Melaka atas urusan tugasan kuliah manakala suami pula bersama rakannya hendak menonton bola, di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

“Dia mengusik dan cuba mengurat. Tapi ia tidak berakhir di situ kerana kebetulan, kawan kepada suami ada nombor telefon saya dan bermulalah ‘gangguan’ telefon tiga saat yang saya rasakan cukup unik dan kelakar,” katanya.

Kini, segala kenangan sewaktu menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka, tersemat kemas dalam kotak ingatan mereka berdua.

Sepanjang mengenali hati budi, kedua mereka pernah berpisah iaitu pada tahun kelapan perkenalan. Selama setahun, kedua mereka tidak berjumpa calon sesuai untuk mengisi kekosongan hati sehinggalah Ahmad Saidin datang merisik, Julai lalu.

Kedua-duanya percaya pada janji Allah mengenai jodoh namun jauh di dalam hati, Eza cukup bersyukur kerana doa sewaktu mengerjakan umrah dimakbulkan Allah.

Akhirnya, pada 3 November lalu, kedua pasangan sama cantik sama padan itu memeterai ikatan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz.

Eza menerima mas kahwin bernilai RM1,000 dan wang hantaran RM14,000.

Pandai ambil hati

Mengimbau kembali kenangan sebelum mendirikan rumah tangga, Eza mengakui perjalanan menuju alam perkahwinan adalah sangat mendebarkan dan cukup mencemaskan.

Tambahan pula, kedua-dua mereka dipisahkan oleh jarak bila mana Eza di Johor manakala Ahmad Saidin, di Taiping, Perak.

Banyak urusan perlu diurus dan dibincangkan melalui telefon dan kata Eza, sikap tenang serta rasional banyak membantunya berdepan semuanya dengan mudah.

“Apabila hendak berkahwin, lelaki selalunya lebih tertekan berbanding wanita. Jadi, saya tanamkan dalam hati, waktu kritikal begitulah syaitan berusaha hendak memusnahkan apa yang Allah suka,” katanya.

Sewaktu ditebak pertanyaan mengenai ciri disukai dalam diri suami, Eza mengakui suami seorang yang bijak, dedikasi, pandai mengambil hati dan suka membuat kelakar.

Paling penting, katanya, beliau sukakan sifat suami yang mementingkan keluarga dan pandai juga bertukang.

“Suami pernah buat sendiri rumah arnab untuk Eza menggunakan kayu terpakai. Arnab itu pula hadiah daripada mak mentua sewaktu kami bercinta dulu.

“Paling saya ingat, suami pernah menjaga Eza yang dimasukkan ke wad selama tiga hari. Waktu itu ibu bapa Eza menunaikan haji di Makkah. Pelbagai halangan dilalui sewaktu ke hospital termasuk kereta mati kerana kehabisan minyak malah suaminya juga terpaksa menolak kereta sejauh satu kilometer sebelum tiba di hospital,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Saidin yang juga seorang peguam menyukai Eza kerana wanita itu seorang yang berdikari dan sentiasa mahu belajar menyukai minat suami.

Jahit sendiri baju nikah

Eza beruntung kerana sedang cuti semester semasa tarikh pernikahan ditetapkan, jadi Eza menggunakan sepenuhnya masa tersebut untuk menyiapkan dulang hantaran.

“Manik pada baju juga dijahit sendiri. Apabila kelas bermula, saya berulang alik dari UTM ke rumah setiap hujung minggu bagi memastikan perjalanan majlis lancar,” katanya.

Beruntung juga si manis ini apabila menerima pelbagai tajaan dan sumbangan peribadi dari rakan antaranya kek untuk resepsi, bunting, beg cenderahati, bunga telur dan roti Gardenia.

INFO

Beli jubah putih dipakai untuk akad nikah sewaktu mengerjakan umrah di Makkah.

Tema majlis – gaya teman kontemporari diterapkan pada rekaan pelamin tapi Eza menggunakan busana Melayu berciri moden berwarna kuning lemak ketam.

Baju bersanding menggunakan rekaan peplum yang sedang hangat ketika ini.

Terima tajaan pelbagai barangan daripada rakan antaranya tajaan bunga tangan daripada Leo Garden Shop.  –  BH